suria

Beberapa suspek kes buli Zara Qairina akan dituduh di mahkamah

Beberapa suspek yang terlibat dalam kes buli Zara akan dituduh di mahkamah.

JABATAN Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menuduh beberapa suspek yang terbabit dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Menurut AGC dalam kenyataan pada Isnin, keputusan dibuat berdasarkan penelitian kertas siasatan yang dirujuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian pelajar tingkatan satu itu.

"Keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan.

"Jabatan ini menegaskan walaupun keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli dibuat, namun ia tidak akan menjejaskan siasatan yang masih dijalankan oleh PDRM berhubung kes kematian Zara Qairina, termasuk prosiding inkues yang akan dijalankan mahkamah," menurut kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali ibu Zara Qairina tolak bedah siasat, mahu segerakan pengebumian

Terdahulu, media melaporkan prosiding inkues bagi menyiasat punca Allahyarham Zara ditetapkan bermula 3 September ini dan berlangsung selama 19 hari.

Untuk rekod, Allahyarham Zara ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar pada 16 Julai lalu.

Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, 17 Julai dan dikebumikan pada hari yang sama.

Kisah kematian pelajar tersebut tular di media sosial sehingga mencetuskan gerakan #JusticeForZara apabila timbul dakwaan mangsa maut akibat dibuli.

Artikel Lain

Suami Dian P Ramlee meninggal dunia