DEWAN Rakyat diberitahu jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak dibedah siasat atas persetujuan ibunya.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat pada Isnin.
Jelasnya, ibu Allahyarham iaitu Noraidah Lamat kekal dengan pendiriannya walaupun sudah dua kali ditanya berhubung pelaksanaan proses bedah siasat.
"Pegawai penyiasat berjumpa dengan ibu mangsa dan memaklumkan mengenai keperluan untuk melakukan proses itu. Ibu mangsa ketika itu menyatakan dia hendak menyegerakan pengebumian kerana anaknya sudah cukup derita.
"Di sini, pihak polis dan pengarah siasatan mengakui ada ketidakpatuhan daripada segi prosedur siasatan di pihak pegawai polis yang berkenaan.
"Pegawai polis pula apabila diminta maklumkan kepada ibunya, ibu kata dia tak nak buat. Dia nak segerakan pengebumian dan doktor yang bertugas pada pukul 5 petang di bilik mayat sekali lagi menemui ibunya dan ibunya kekal dengan pendirian," ujarnya.
Tambahnya, ibu Allahyarham kemudian mengisi dan menandatangani surat akuan enggan bedah siasat mayat atas kemahuan sendiri yang mana perkara itu disaksikan kakak iparnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kematian Zara Qairina ada unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual
"Dokumen semua siap dan keputusan itu dibuat atas kehendak ibu dan didokumenkan secara sah. Sikap pegawai penyiasat polis waktu itu menghormati sepenuhnya (keputusan Noraidah).
"Daripada sudut Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) itu dianggap sebagai tidak patuh dan ditegur dan polis akan mengambil tindakan dalaman," jelasnya lagi.
Jelas Saifudin, keputusan yang dibuat Noraidah adalah satu fakta, namun tidak bermakna untuk meletakkan wanita itu dalam posisi bersalah.
Malah, persoalan sekiranya Noraidah sudah diberi penerangan tentang proses bedah siasat juga akan dijelaskan dalam inkues nanti.
"Jauh sekali apabila sebut soal persetujuan ibu menandatangani surat akuan itu, tidak terlintas bahawa kenyataan fakta terbabit adalah untuk meletakkan ibu dalam posisi bersalah.
"Saya hanya maklumkan fakta bahawa pegawai penyiasat khilaf dan niat dia hendak permudahkan urusan ibu dan menyegerakan proses pengebumian," ujarnya.
Untuk rekod, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang di asrama sekolahnya di Papar, Sabah kira-kira pukul 4 pagi pada 16 Julai lalu.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Sabah pada 17 Julai.
Pada Isnin, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz memaklumkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara ditetapkan bermula 3 September ini yang berlangsung selama 19 hari.