PEGUAM keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir merayu Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya mempertimbangkan pendakwaan lebih berat terhadap lima remaja perempuan yang akan dituduh pada Rabu berhubung kes buli.
Menurut peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, dakwaan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dianggap terlalu ringan jika dibandingkan dengan keseriusan kes berkenaan.
Susulan itu, enam peguam diketuai Hamid Ismail dalam kenyataan bersama pada Selasa memohon agar pendakwaan ditangguhkan buat sementara waktu.
"Kami memohon Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dapat mempertimbangkan untuk semua remaja terbabit dituduh mengikut Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan.
"Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan Seksyen 507D(2), kami berharap supaya siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan itu dan pendakwaan ditangguh seketika.
"Namun, sekiranya kesalahan yang ada sekarang dan hasil siasatan lanjut mencukupi untuk mendakwa semua remaja bagi kesalahan lebih berat daripada Seksyen 507D(2), kami merayu mereka didakwa dengan kesalahan yang lebih berat itu," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Beberapa suspek kes buli Zara Qairina akan dituduh di mahkamah
Untuk makluman, Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan kerana melakukan perbuatan atau komunikasi yang menyebabkan seseorang mempercayai kemudaratan akan menimpa dirinya.
Sementara itu, Seksyen 507D (2) pula membabitkan kesalahan melakukan provokasi sehingga mendorong mangsa mencederakan diri atau membunuh diri, yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Sehubungan itu Hamid berkata, pihaknya bimbang sekiranya pendakwaan hanya dibuat di bawah Seksyen 507C(1), semua tertuduh berkemungkinan terus mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan.
"Apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan mengikut Seksyen 507D(2) atau kesalahan yang lebih berat, mereka (lima remaja terbabit) tidak boleh lagi didakwa atas dasar 'Double Jeopardy' yang termaktub dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan.
"Bagi tujuan tersebut, kami menulis surat kepada Peguam Negara (berhubung perkara ini) dan sudah dihantar melalui e-mel," katanya.
Double Jeopardy bermaksud seseorang tidak boleh didakwa lebih daripada sekali mengikut seksyen sama.
Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan lima remaja perempuan akan dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu pada Rabu kerana mengugut dengan mengeluarkan perkataan bersifat mengancam.
Beliau berkata, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas.
Sebelum ini, AGC mengesahkan sudah meneliti kertas siasatan polis sebelum membuat keputusan mendakwa suspek berdasarkan keterangan yang ada.
Menurut AGC, keputusan mendakwa lima remaja itu tidak akan menjejaskan prosiding inkues kematian Zara Qairina yang bakal berlangsung selama 19 hari bermula 3 September depan.