suria

[V] Mengamuk dengan abang, adik terus bakar rumah sendiri... Kediaman jiran sebelah pun hangus!

Seorang lelaki ditahan selepas membakar rumah sendiri dalam kejadian pada Ahad.

SEORANG lelaki berusia 39 tahun ditahan polis selepas disyaki membakar rumah sendiri di Kampung Baru, Sungai Lalang, Bedong, Kedah pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 43 tahun selepas mendapat panggilan daripada saudaranya sekitar pukul 7 petang memaklumkan rumahnya terbakar.

Jelas Hanyan, pengadu mengesyaki kebakaran itu berpunca daripada adik lelakinya yang mengamuk sebelum bertindak membakar rumah berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati, pengadu dan suspek tinggal bersama di rumah itu bersama seorang lagi abang mereka.

"Rumah yang musnah dalam kebakaran itu adalah binaan papan dan bata menyebabkan kebakaran turut merebak ke rumah jiran.

"Hasil soal siasat awal, suspek yang tidak bekerja itu mengaku memulakan kebakaran itu dengan membakar kertas menggunakan pemetik api di dalam rumah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Keadaan rumah selepas bomba berjaya memadamkan api dalam kejadian pada Ahad malam.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan dua rumah di Kampung Baru, Sungai Lalang musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian itu, anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental berusia 40 tahun yang berada di kawasan kebakaran. 

Mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohd Naim Mat Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 7.52 malam.

Menurutnya, operasi disertai sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dengan bantuan BBP Amanjaya serta tujuh Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Dalam satu hantaran pada Ahad malam, seorang pelayar di Facebook berkongsi video [Tonton sini] memaparkan dua buah rumah hangus dijilat api.

Artikel Lain

Suami Dian P Ramlee meninggal dunia