SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun didapati menjadi dalang kegiatan menjual bahan lucah menerusi aplikasi WhatsApp.
Perkara itu dibongkarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) berhubung usaha membendung lebih awal isu jenayah swinger dalam talian.
Lebih mengejutkan apabila aktiviti persundalan itu dilakukan bersama empat lagi rakannya.
Malah ujar Saifuddin, grup WhatsApp yang dibina atas tujuan tersebut mempunyai 762 ahli.
“Yang buat laman sesawang ini budak perempuan umur 12 tahun, berpakat dengan kawan-kawanya empat orang.
“Masing-masing ambil gambar, bahagian tubuh masing-masing kemudian jual,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Saifuddin Nasution berkata, kanak-kanak perempuan itu juga telah berhenti sekolah disebabkan pendapatannya lebih tinggi berbanding pendapatan ibu bapanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui timbul isu dalam mengendalikan jenayah melibatkan kanak-kanak yang tertakluk kepada pelbagai undang-undang.
Katanya, kanak-kanak terbabit tidak boleh dibawa ke mahkamah terbuka selain timbul persoalan mengenai masa depan mereka.
“Undang-undang kita pelbagai. Kalau kita nak ambil tindakan terhadap mereka ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan kata mereka ini baru kanak-kanak.
“Jadi dalam melaksanakan penguatkuasaan, apabila kita jumpa kes macam ini, jelas sekali kita tetap kena dapatkan pandangan daripada pelbagai agensi lain,” katanya.