INDIVIDU yang berselindung di sebalik akaun TikTok ‘Dato’ Prof Dr. Tunku Iskandar’ dan menyamar sebagai 'pakar patologi' yang terlibat dalam bedah siasat kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir berjaya dikesan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, suspek ditahan berdekatan kawasan Kota Damansara lewat malam Isnin dan disahkan bukan pakar patologi oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
"Penahanan dilakukan berikutan maklumat daripada rakaman keterangan dua individu yang turut menyertai sesi siaran langsung akaun berkenaan di TikTok.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk proses rakaman keterangan.
"Peralatan komunikasi miliknya turut dirampas bagi tujuan analisis siasatan lanjut,” jelas kenyataan itu.
Menurut MCMC, penyebaran maklumat palsu terutama melibatkan isu sensitif berkaitan kematian, tragedi atau mangsa nahas adalah satu kesalahan serius kerana boleh menyinggung perasaan keluarga.
Bahkan tindakan itu dipercayai akan mengelirukan masyarakat serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.
MCMC memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyiasat kes itu di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Terdahulu media melaporkan, PDRM dan MCMC mengesan seorang individu yang mendakwa sebagai ‘pakar bedah’ kononnya terlibat dalam proses bedah siasat ke atas jenazah pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina pada 10 Ogos lalu.
Dalam satu siaran langsung di platform TikTok pada 13 Ogos lalu, ‘pakar bedah’ itu memberi gambaran berbaur konklusi seolah-olah mangsa terjun sendiri dari bangunan sekolah.
Untuk rekod, proses bedah siasat ke atas jasad Zara dibuat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Sabah berlangsung selama lapan jam, pada 10 Ogos lalu.
Jenazah remaja berusia 13 tahun itu dikebumikan semula pada pukul 1.15 pagi 11 Ogos di Sipitang.
Allahyarham Zara Qairina disahkan meninggal dunia di hospital sama pada 17 Julai, sehari selepas dia dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya namun dikaitkan dengan kes buli sebagaimana didakwa keluarga mangsa.