suria

Lima remaja dituduh guna perkataan mencela terhadap Zara Qairina berdepan penjara sehingga setahun

Lima remaja mengaku tidak bersalah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara.

LIMA remaja yang didakwa berhubung kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu, pada Rabu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad mengesahkan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 35 kanun sama kerana menggunakan perkataan mencela terhadap mangsa.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga setahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah perintah larangan bersuara, tiada pendedahan butiran prosiding kes Zara Qairina babitkan 5 remaja

Nor Azizah turut mengesahkan perintah larangan bersuara (gag order) dipohon peguam Datuk Ram Singh bagi menghalang penerbitan butiran prosiding selaras Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus yang mendengar kes itu menetapkan 25 September depan untuk sebutan semula.

Mahkamah turut membenarkan ikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan deposit RM1,000 dan seorang penjamin.

Untuk rekod, Zara ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth.

 

Artikel Lain