LIMA remaja perempuan yang dikaitkan dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir sudah didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu pada Rabu.
Namun mahkamah memerintahkan larangan bersuara (gag order) agar tiada sebarang pendedahan dibuat berhubung prosiding pendakwaan lima remaja itu.
Sehubungan itu pasukan peguam mewakili keluarga Zara ketika ditemui media di luar mahkamah meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan berhubung pendakwaan itu.
Menurut peguam Hamid Ismail, kenyataan itu diperlukan disebabkan perintah larangan mahkamah yang menghalang pendedahan butiran prosiding tersebut kepada orang ramai.
ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Negara diminta tukar pendakwaan terhadap 5 remaja kes Zara Qairina, mahu tuduhan lebih berat
"Banyak perkara tidak boleh didedahkan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak, apa sahaja tidak boleh didedahkan termasuk sepanjang siasatan atau prosiding di mahkamah.
"Ia bukan sebab VIP atau ada perkara yang disembunyikan, ia disebabkan undang-undang yang melarang. Jadi kita berharap AGC dapat memberikan kenyataan," ujarnya.
Dalam pada itu, Hamid Ismail turut memohon maaf kerana tidak dapat berkongsi sebarang maklumat berhubung prosiding pendakwaan lima remaja berkenaan.
"Kami tidak boleh bercakap apa yang berlaku di dalam kerana ada perintah 'gag'. Jadi, kami mohon maaf," ujarnya lagi.
Pada Isnin, AGC memutuskan untuk menuduh lima suspek yang terbabit dalam kes buli Allahyarham Zara.
Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Allahyarham Zara pula ditetapkan bermula 3 September ini dan berlangsung selama 19 hari.