suria

Berdepan banyak ujian sejak lahir, wanita namakan bayi Zara Qairina... Harap anak jadi solehah seperti arwah

Seorang bayi mendapat perhatian ramai kerana dinamakan Zara Qairina.

KISAH seorang bayi perempuan yang dinamakan Zara Qairina menyentuh hati ramai apabila nama itu dipilih ibunya bagi memperingati pelajar yang meninggal dunia di Sabah bulan lalu.

Perkara itu dikongsikan jururawat, Norazlina Sadzali dikenali 'Misi Konah' yang mana dia menceritakan perjalanan hidup si kecil ini yang sudah diuji sejak lahir.

"Assalamualaikum, nama saya Zara Qairina. Saya baru berusia 10 hari (pada Isnin).

"Doakan saya menjadi anak yang berhati waja macam mak saya dan menjadi anak solehah seperti bidadari syurga, Zara Qairina," tulis Norazlina mengenai bayi tersebut.

Menurutnya lagi dalam hantaran di Facebook, Zara tidak sempat mendengar suara bapa mengiqamatkan kelahirannya.

Sebaliknya, hanya tangisan si ibu yang berselawat di telinga menemani saat awal kelahiran bayi itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah perintah larangan bersuara, tiada pendedahan butiran prosiding kes Zara Qairina babitkan 5 remaja

ARTIKEL BERKAITAN: Beberapa suspek kes buli Zara Qairina akan dituduh di mahkamah

Lebih menyayat hati, abangnya yang berusia 11 tahun bernama Adam terpaksa diberhentikan sekolah kerana masalah kewangan.

"Abang jadi teman setia mak. Kadang-kadang pergi klinik naik Grab (e-hailing), kadang-kadang tumpang kawan, nurse atau jalan kaki lebih dari 5 kilometer.

"Berpanas, berhujan itu perkara kecil untuk mak dan abang. Mak selalu kena datang klinik sebab mak saya ada kencing manis. Mak saya seorang wanita yang kuat.

"Lepas saya lahir mak dan ayah (yang tidak pernah saya dengar suaranya itu) akan berpisah. Kenapa agaknya mak dan ayah nak berpisah," tulis Norazlina dalam hantarannya.

Dalam perkongsian pada Rabu malam, Norazlina memaklumkan keluarga kecil ini kini menumpang di rumah saudara mereka. 

Si ibu pula terpaksa meneruskan kehidupan untuk menjaga Zara meskipun kehidupan mereka dalam serba kekurangan.

Perkongsian Norazlina mengenai bayi tersebut mendapat perhatian di Facebook.

Bacaan kuning Zara juga dilaporkan tinggi dan ibunya perlu kerap ke klinik walaupun tidak berkemampuan.

Bagaimanapun, jururawat serta ahli keluarga tetap membantu dengan menguruskan pendaftaran kelahiran, pembukaan akaun bank dan hal persekolahan abang Zara.

"Alhamdulillah, sedikit sebanyak ada sesuatu yang dapat digerakkan hari ini (Rabu), walaupun sedikit.

"Moga-moga dipermudahkan segala urusan kemasukan kembali Adam ke sekolah dan meringankan beban mak Zara.

"Secebis kisah anak kecil bernama Zara Qairina yang diambil sempena pemergian pelajar comel mangsa buli di Sabah. Al-Fatihah buat arwah," jelasnya.

Sejak perkongsian itu dibuat, ramai yang meminta Norazlina membuka platform khas untuk menyalurkan sumbangan kepada ibu Zara.

Namun, wanita itu masih mempertimbangkan perkara berkenaan dan belum membuka sebarang saluran untuk tujuan itu,

Zara Qairina Mahathir merupakan seorang pelajar Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar di Sabah. 

Nama Zara mula menjadi perhatian seluruh negara selepas kematian tragis yang berlaku berikutan kemalangan pada 16 Julai di kawasan sekolahnya.

Artikel Lain