SEORANG jururawat maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Kilometer 394, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ketika dalam perjalanan ke Kuala Terengganu pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa iaitu Roslinawati Ramli, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal milik suaminya memulakan perjalanan dari Simpang Renggam, Johor kira-kira pukul 1 pagi Jumaat sebelum kemalangan berlaku sekitar tengah hari.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Peniaga tawarkan ‘hotel’ percuma untuk peserta RXZ Members... Lokasi strategik, kemudahan hampir lengkap
Mangsa ketika itu bergerak secara konvoi bersama 13 lagi motosikal lain.
“Mangsa yang berasal dari Felda Tementi, Triang, Pahang, hilang kawalan motosikal lalu terbabas dan terjatuh di atas jalan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Sharudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis menasihatkan peserta program RXZ Members 7.0 supaya lebih berhati-hati dan menunggang dengan cermat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Program RXZ Members 7.0 2025 akan diadakan di Litar Permotoran Gong Badak pada Sabtu. - The Star.