PERSOALAN mengenai kes pergaduhan di sebuah asrama kolej vokasional di Lahad Datu, Sabah tahun lalu akhirnya terjawab apabila 13 pelajar didapati bersalah membunuh rakan mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan.
Keputusan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Tawau selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh yang berusia antara 16 hingga 19 tahun, pada Jumaat.
Bagaimanapun, hukuman terhadap mereka hanya akan diputuskan pada 28 Ogos ini sementara mahkamah menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengikut pertuduhan, semua pelajar terbabit didakwa secara bersama membunuh mangsa di dua bilik asrama, 7 Resak dan 5 Belian antara pukul 9 malam pada 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sepanjang hayat jika sabit kesalahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh curi RM85 dipercayai jadi punca pelajar kolej vokasional kena belasah hingga mati
Prosiding dikendalikan Hakim Datuk Duncan Sikodol dengan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif dan Ng Jhun Tao.
Manakala pihak tertuduh diwakili beberapa firma guaman termasuk Ram Singh Harbans & Co, LCZ Law Firm, Johari, Zelika & Amin, Vivian Thien & Associates, Kang Advocates, Kusni & Komariah, serta Chang & Kamarudin.
Siasatan kes ini dijalankan oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Lahad Datu, Asisten Superintenden Suddin Tjinke.
Pada 23 Mac tahun lalu, polis menerima laporan kejadian itu yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham mengenai wang tunai berjumlah RM85 yang didakwa hilang.
Mangsa dituduh mencuri RM35 dan RM50 milik dua pelajar lain sebelum dia diserang oleh kumpulan terbabit.
Keesokan paginya, Nazmie ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di lantai asrama oleh warden kira-kira pukul 6.50 pagi.
Pelajar program Bioteknologi itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.