suria

[V] Hantaran terakhir jururawat meruntun hati , ‘terpisah’ dengan suami ketika konvoi RXZ - "Kena tunjuk muka pecah"

Mangsa sempat muat naik hantaran sebelum kemalangan berlaku.

KEMALANGAN maut membabitkan seorang peserta program RXZ Members 7.0 di Kilometer 394, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ketika dalam perjalanan ke Kuala Terengganu, ternyata meruntun hati.

Apatah lagi hantaran terakhir yang dibuat oleh wanita itu sebelum terbabit nahas pada Jumaat, dilihat bagai menjadi petanda kepada 'pemergiannya'.

Berdasarkan video tular, dipercayai hantaran di status di laman Facebook, Roslinawati Ramli, 33, yang lebih dikenali sebagai Eyna Lee menyatakan dia perlu menunjukkan bukti bahawa dirinya mengikuti konvoi berkenaan sepenuh masa.

"Kena tunjuk muka pecah, bukti tak mengelat," tulisnya ringkas menerusi akaun Eyna Lee.

'Pecah' dalam hantaran arwah dipercayai bermaksud wajahnya yang keletihan kerana menunggang motosikal dalam tempoh yang lama.

ARTIKEL BERKAITAN: Jururawat maut dalam perjalanan ke Himpunan RXZ, motosikal terbabas akibat hilang kawalan

Pada masa sama, dia yang berkhidmat sebagai jururawat turut berkongsikan situasi semasa peserta konvoi yang sedang berhenti berehat dan dirinya sedang duduk di tepi longkang.

Dalam pada itu, pemilik akaun Larriz Bina Ent tampil berkongsi rakaman siaran langsung salah seorang peserta konvoi yang dibuat di lokasi kejadian kemalangan.

Berdasarkan rakaman video siaran langsung itu, individu terbabit menyatakan konvoi peserta [Tonton Video] dibahagikan kepada dua kumpulan bagi mengelakkan kesesakan perjalanan.

Mangsa yang berusia 33 tahun dan suaminya menunggang motosikal berasingan yang mana, dia berada dalam kumpulan kedua (belakang).

Eyna Lee dikatakan menyayangi motosikal berkenaan.

Motosikal ditunggang Eyna Lee.

"Suami dia kat depan, dia jarak dengan suami dalam 20 ke 30 meter, suami dia tak sedar dia jatuh ni... yang ni teruk juga, kat lutut, bahu dia tadi, paling teruk kat kepala, 

"Apabila terlalu ramai tadi, kita orang buat dua grup, satu grup belakang dan satu kat depan, tak nak nampak macam sibuk sangat.

"Jatuh sendiri, jatuh sendiri, 'lost control' sebab kat jambatan tu ada bonggol, dia turun jambatan terus gelong, dah 'call' banyak kali, suami dia tak dengar lagi," demikian perkongsian wanita itu di lokasi kejadian.

Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa bergerak secara konvoi bersama 13 lagi peserta dengan menunggang motosikal milik suaminya.

Dia memulakan perjalanan dari Simpang Renggam, Johor kira-kira pukul 1 pagi sebelum kemalangan berlaku sekitar tengah hari.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Lain