suria

Enam remaja ditemukan bertindih dalam kereta selepas terbabit kemalangan, tiga maut

Pasukan bomba mengambil masa hampir sejam bagi mengeluarkan kesemua mangsa. -Foto Bomba Selangor

ENAM remaja lelaki ditemukan dalam keadaan bertindih di dalam sebuah kereta selepas kenderaan dinaiki terbabas ke dalam parit di Jalan Sultan Sulaiman Shah, Banting, Selangor.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 3.50 pagi Sabtu itu mengakibatkan tiga daripadanya maut manakala tiga lagi cedera.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.56 pagi.

“Sebaik tiba, bomba mendapati sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipercayai terbabas ke dalam parit dengan enam remaja lelaki warga tempatan berada dalam keadaan bertindih di dalam kenderaan berkenaan.

“Bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan kesemua mangsa, iaitu bermula pukul 4.20 pagi sehingga mangsa keenam pada pukul 5.15 pagi.

"Kesemua mereka dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan susulan,” katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, siasatan mendapati tiga mangsa mengalami kecederaan di kepala, badan, tangan dan kaki, manakala tiga lagi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tambah beliau, empat daripada enam remaja itu sudah dikenal pasti, iaitu Daniel Iqkwan Jalaluddin, 15, dan Muhammad Danish Farhan Alias, 19, kedua-duanya cedera.

“Manakala, Muhammad Adib Anuar, 16, dan Hariz Nazri, 19, adalah mangsa yang meninggal dunia. 

"Dua lagi mangsa belum dikenal pasti, operasi bomba tamat pada pukul 6.15 pagi,” katanya.

 

Artikel Lain