SEPATUTNYA majlis perkahwinan menjadi detik indah untuk meraikan pengantin baharu bersama ahli keluarga dan tetamu yang hadir.
Namun, sebuah keluarga berdepan situasi memalukan gara-gara sikap segelintir tetamu yang mementingkan diri apabila tergamak membungkus lauk tanpa meminta kebenaran.
Kisah tersebut dikongsikan seorang wanita di laman sosial, yang meluahkan rasa sakit hati dengan situasi yang berlaku ketika majlis perkahwinan kakaknya, Ahad lalu.
Tangkap layar (screenshot) didakwa daripada status WhatsApp seorang tetamu.
Wanita berkenaan mendakwa, segelintir tetamu membungkus lauk seawal pukul 11 pagi ketika majlis baru berlangsung.
"Sumpah sakit hati dengan perangai yang macam ni. Sampaikan makanan tak cukup disebabkan perangai makcik-makcik tak tahu malu macam ni dan siap update di status (WhatsApp) pula tu.
"Tanpa minta izin tuan rumahnya... Masa mereka bungkus (lauk kenduri) tu saya tak sempat tengok sebab tengah sibuk, kalut macam-macam. Hal ini kakak saya yang seorang lagi tu beritahu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pernah tapau makanan kenduri? Sebenarnya boleh jatuh hukum haram jika silap langkah
ARTIKEL BERKAITAN: Siap dah bawa bekas, makcik bertekak dengan pekerja katering nak tapau lauk kenduri - “Setakat satu dua bungkus takkan tak boleh?”
"Tolong la makcik-makcik jangan buat perangai tak tahu malu," tulisnya namun tidak menyatakan lokasi majlis perkahwinan tersebut.
Dalam hantaran sama, wanita itu turut memuat naik imej tangkap layar status WhatsApp seorang tetamu yang berkongsi hidangan lauk kenduri yang 'dirembat' sewaktu majlis perkahwinan kakaknya itu.
"Hari ni cuti masak. Makan masakan kenduri kahwin," tulis individu berkenaan pada kapsyen yang memaparkan gambar lauk-pauk tersebut.
Kelihatan hidangan tersebut terdiri daripada lima hingga enam jenis masakan, antaranya gulai, masak lemak, sambal tempoyak dan beberapa jenis masakan lain.
- Seorang wanita kecewa apabila majlis perkahwinan kakaknya kecoh gara-gara tetamu membungkus lauk seawal majlis bermula.
- Perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan makanan tidak mencukupi hingga keluarganya menanggung malu.
- Lebih mengejutkan, ada tetamu yang tanpa segan silu memuat naik gambar lauk kenduri di status WhatsApp.
- Wanita itu turut mendakwa ada yang mengambil manisan 'berpinggan-pinggan' tanpa memikirkan tetamu lain.
- Kisah ini mendapat perhatian netizen yang mengecam sikap tamak segelintir tetamu tersebut yang langsung tidak memikirkan tuan rumah serta tetamu lain.
"Bayangkan seorang tapau pun boleh buat makan untuk tiga hingga lima tetamu lain. Ni kan pula ramai-ramai tapau. Kalau 5,000 tetamu makan pun tak cukup kalau dapat makcik perangai macam ni.
"Tolong la siapa ada mak suka pergi kenduri tu nasihatkan jangan suka buat perangai memalukan ni! Kecuali izin dari famili atau kenduri dah habis.
"Anda semua bayangkan kenduri baru nak mula tapi orang-orang dah sibuk duduk dekat meja lauk membungkus. Teruk betul perangai," luahnya lagi.
Sudahlah lauk kenduri tidak cukup, dakwa wanita itu lagi, ada segelintir tetamu lain yang tanpa segan silu mengambil hidangan manisan 'berpinggan-pinggan' di meja pencuci mulut.
Komen beberapa netizen pada hantaran asal.
Perkongsian tersebut ternyata mengundang reaksi netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan tetamu membungkus lauk tanpa izin tuan rumah.
"Kenapa tak ada yang melarang dari bungkus makanan. Boleh ye macam tu? Tak minta izin ambil makanan orang.
"Wey tu lauk kenduri? Punya banyak dia kebas. Ini dah kira mencuri. Kalau saya balas je (status WhatsApp) tak akan halalkan makanan yang dia ambil.
"Kalau saya pergi kenduri saudara mara sendiri pun tak akan ambil lauk untuk dibungkus, kecuali tuan rumah yang offer sendiri," demikian komen beberapa netizen.