BEDAH siasat kedua terhadap pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin mendedahkan terdapat kecederaan traumatik mencurigakan yang memerlukan siasatan lanjut berhubung kematiannya.
Peguam Datuk Naran Singh yang mewakili keluarga Allahyarham berkata, prosedur bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bermula pukul 9 pagi dan berakhir sekitar 4 petang.
Ia dikendalikan oleh beberapa pakar forensik kanan dan turut disaksikan oleh pakar yang mewakili keluarga arwah, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah arah kubur pelatih Palapes UTM digali semula
"Bedah siasat dilaksanakan secara teliti, setiap bahagian badan diperiksa dan dilihat, imbasan CT dibuat semula selepas habis bedah siasat.
"Keputusan bedah siasat mendapati kecederaan mencurigakan di badan yang mungkin dan perlu siasatan lanjut.
"Apa yang saya boleh katakan, buat masa ini kecederaan ditemui pada badan. Saya tidak boleh mendedahkan lokasi sebenar dan jenis kecederaan kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis yang sedang dijalankan," katanya pada sidang media di HKL pada Sabtu.
Susulan penemuan tersebut, Naran memohon Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, supaya segera memulakan inkues bagi merungkai punca sebenar kematian pelatih berkenaan.
"Mesti ada inkues segera. Rakyat menuntut keadilan, lebih-lebih lagi ibu mangsa yang kehilangan anak lelaki tunggalnya," katanya.
Beliau menegaskan bahawa keluarga tidak akan berhenti sehingga keadilan ditegakkan dan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.
Naran turut menggesa Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, agar mengambil tindakan tegas dengan segera dalam menyiasat kes tersebut.
Ujarnya lagi, sekiranya Peguam Negara enggan memulakan inkues, Naran berkata pihak keluarga akan memfailkan permohonan mahkamah bagi mendesak tindakan sewajarnya diambil.
"Kami berpuas hati dengan prosedur bedah siasat kedua ini. Penemuannya membuktikan betapa pentingnya ia dijalankan," katanya lagi. -The Star