suria

Gempa bumi keenam di Segamat, penduduk dakwa kuat seperti bunyi bom

Gegaran yang direkodkan di Segamat pagi tadi.

GEMPA bumi lemah sekali lagi melanda Segamat, Johor pada Sabtu dengan magnitud 2.7 pada pukul 7.29 pagi.

Kejadian itu menjadikan ia gempa bumi keenam yang direkodkan di daerah berkenaan sejak Ahad lalu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan gegaran tersebut berpusat kira-kira dua kilometer di barat laut Segamat dengan kedalaman 10 kilometer.

“Gegaran dirasai di sekitar Segamat, Johor. Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini.

"Mereka yang merasai gegaran akibat gempa bumi ini dapat mengisi borang soal selidik di pautan ini,” ujar kenyataan itu.

Untuk rekod, gegaran terbaharu itu berlaku selepas insiden pada pukul 4.24 pagi Jumaat yang merekodkan magnitud 3.4 di Segamat dengan kedalaman 10 kilometer.

Segamat sebelum itu merekodkan empat gempa bumi, iaitu dua kali pada 24 Ogos serta masing-masing satu pada 27 dan 28 Ogos, dengan magnitud antara 2.5 hingga 4.1.

Di laman Facebook rasmi jabatan itu, beberapa pelayar yang dipercayai penduduk setempat Segamat berkongsi situasi yang dialami.

"Kali keenam ni macam bunyi bom, agak kuat gegarannya tapi tak sekuat yang pertama.

"Koordinat sama dengan gegeran pertama tempoh hari, 27 Mei, perasan tak gempa suka berlaku pada sebelah pagi?

"Kali keenam dah gegaran ni, Allah memang takut jadinya, anak-anak pun terkejut tadi, semoga Allah lindungi Segamat," demikian reaksi netizen.

 

Artikel Lain

A. Aida masuk ICU