suria

Wanita warga emas, 2 anak saudara ditemukan mati dalam rumah… Tiada kesan jenayah dijumpai

Bedah siasat dilakukan untuk menentukan punca kematian seseorang. -Gambar hiasan

TIGA individu terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah rumah di Taman Tanjung, dekat Port Dickson, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Port Dickson pada pukul 12.20 tengah malam mengenai kematian kesemua mangsa.

"Siasatan awal mendapati dua mayat dijumpai di bahagian ruang tamu dan satu lagi di atas katil bilik tidur.

"Ketiga-tiga mayat berada dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian. Mangsa berusia dalam lingkungan 38 tahun hingga 56 tahun," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, seorang mangsa dikenal pasti mempunyai penyakit kronik manakala seorang lagi merupakan orang kurang upaya (sindrom).

Alzafny menambah ketiga-tiga mangsa mempunyai pertalian keluarga, iaitu seorang lelaki dan wanita merupakan pasangan adik-beradik, manakala seorang lagi wanita merupakan ibu saudara mereka.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh kesemua mangsa tidak menjumpai sebarang kesan pergelutan atau perlakuan jenayah, malah tidak ada kesan geledah rumah atau kehilangan barang peribadi mangsa.

Kesemua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk siasatan lanjut, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel Lain

A. Aida masuk ICU