GURU lelaki berusia 30 tahun yang didakwa mengelar leher isterinya dalam kejadian pada pagi Rabu lalu, direman enam hari bagi membantu siasatan.
Majistret Zaireen Zainudin pada Sabtu membenarkan perintah reman terhadap suspek sehingga 4 September depan, bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Balik Pulau dengan menaiki kenderaan polis kira-kira pukul 9.15 pagi dengan memakai kemeja-T dan seluar trek hitam.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki kelar leher isteri sebelum cederakan diri sendiri, kini kritikal di zon merah
Suspek kelihatan muram, dengan tangan kirinya berbalut sehingga siku dan turut kelihatan kesan jahitan di lehernya.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 28 tahun nyaris maut apabila lehernya dikelar oleh suami selepas dia diserang ketika pertelingkahan, sebelum lelaki itu bertindak mencederakan diri sendiri.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 6 pagi Rabu di sebuah rumah di Sungai Ara, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan mendapati insiden berpunca daripada Tindakan suspek yang membuat pinjaman bank untuk pelaburan saham, selain dibebani dengan bayaran ansuran pembelian barangan melalui platform e-dagang. -The Star