KETIKA industri pembinaan berdepan cabaran kenaikan kos bahan mentah serta kekurangan sumber semula jadi, Agregat Konkrit Guna Semula atau Repurposed Concrete Aggregate (RCA) dianggap penyelamat.
RCA dianggap sebagai alternatif baharu yang diyakini mampu menstabilkan pasaran dan memberi pilihan lebih luas kepada kontraktor.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata penggunaan RCA dilihat sebagai langkah positif dalam sektor pembinaan negara kerana mampu mengurangkan kebergantungan kepada sumber semula jadi seperti pasir dan batu agregat.
"RCA merupakan inisiatif baik yang boleh membantu industri pada masa depan memandangkan bahan asas binaan semakin sukar diperoleh.
Mohd Rosdi berkata RCA adalah inisiatif baik yang mampu memeriahkan dan menjadi persediaan industri pembinaan pada masa depan.
"Kita sedar, dari semasa ke semasa, bahan-bahan seperti pasir dan agregat akan berkurangan. Maka produk alternatif seperti ini adalah satu langkah yang amat baik dan bagus,” katanya kepada mStar.
Namun beliau mengingatkan, jumlah lebihan konkrit dari tapak binaan lazimnya tidak besar, justeru aspek ketersediaan bekalan perlu diteliti.
“Biasanya kontraktor akan memaksimumkan pesanan konkrit. Lebihan jarang sekali melebihi lima peratus. Jadi kita bimbang satu masa nanti akan timbul pula masalah untuk mendapatkan bahan tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata, jika kajian membuktikan bekalan RCA boleh diperoleh secara konsisten dan menampung permintaan pasaran, penggunaannya wajar diperluaskan.
ARTIKEL BERKAITAN: CREAM giat lakukan penyelidikan, bersedia untuk projek RCA skala besar ikut jejak negara maju
ARTIKEL BERKAITAN: Konkrit terbuang kini jadi sumber bernilai, RCA mampu ganti 30 peratus agregat semula jadi
Tambah Mohd Rosdi, RCA perlu dijual pada harga yang lebih rendah berbanding konkrit biasa supaya benar-benar memberi manfaat kepada kontraktor.
"Ia perlu dijual pada harga lebih rendah daripada harga konkrit biasa yang ada di pasaran. Kalau tidak, sukar untuk bantu pasaran.
"Kita juga berharap JKR (Jabatan Kerja Raya), KKR (Kementerian Kerja Raya) dan CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) dapat pastikan kualiti produk RCA ini.
"Kalau betul-betul ia diyakini, ia boleh menjadi tambahan baharu kepada bahan binaan sedia ada.
"Jika produk baharu ini membantu daripada segi kualiti, kecepatan dan harga, ia akan memeriahkan lagi sektor pembinaan dan memberi lebih banyak pilihan kepada kontraktor," katanya.
RCA mampu meningkatkan keselamatan komuniti dengan mengurangkan longgokan sisa binaan yang berbahaya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar CIDB dan pihak berkaitan bekerjasama dengan kontraktor Bumiputera di negeri-negeri lain supaya teknologi RCA tidak hanya tertumpu di Lembah Klang.
Malah, beliau juga mengingatkan bahawa Malaysia perlu bersedia dengan alternatif bahan binaan kerana sumber asli tidak akan kekal selama-lamanya.
“Dulu rumah dibina dengan kayu, akhirnya habis juga, kita beralih kepada besi dan aluminium.
"Sama juga pasir, sekarang pun makin berkurang. Jadi RCA boleh jadi persediaan kita untuk masa depan,” ujarnya.