KAEDAH Repurposed Concrete Aggregate (RCA) semakin mendapat perhatian di seluruh dunia sebagai kaedah mampan untuk mengurangkan sisa pembinaan dan menggantikan agregat semula jadi.
Beberapa negara maju telah memperkenalkan piawaian rasmi berkaitan RCA dengan Jepun misalnya membuat kajian mengenainya seawal 1970-an sebagai usaha mengurus sisa daripada loji jana kuasa nuklear dan struktur konkrit lain.
Piawaian rasmi mula diperkenalkan apabila Japan Industrial Standard JIS A 5021 diterbitkan pada 2005, sebagai usaha menjamin kualiti RCA kelas tinggi.
Selain Jepun, Amerika Syarikat juga menggunakan RCA sejak 1970- an diikuti penerapan bermula awal 2000-an di Eropah; China pada 2010 serta negara jiran, Singapura pada 2007.
Ramuseren (kiri) bersama Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Zainora Zainal (kanan) ketika meninjau fasiliti RCA di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Di Malaysia, projek rintis kemudahan RCA direalisasikan hasil kerjasama strategik antara syarikat bahan binaan tempatan terkemuka, Kumpulan YTL Cement (YTL Cement) dan Construction Research Institute of Malaysia (CREAM), iaitu institut penyelidikan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif CREAM, Ir. M Ramuseren menjelaskan bahawa kerjasama ini membuka ruang kepada pembangunan RCA sebagai alternatif mampan dalam industri pembinaan negara.
"Projek rintis kemudahan RCA ini dibangunkan melalui kerjasama antara YTL Cement, syarikat bahan binaan tempatan terkemuka, dan CREAM, institut penyelidikan CIDB.
"Dalam kerjasama ini, YTL Cement menyediakan fasiliti, kepakaran operasi, serta pelaburan, manakala CREAM menyumbang kepakaran penyelidikan, pembangunan teknologi, dan pemantauan prestasi," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Pusat RCA pertama inisiatif YTL Cement-CREAM: Malaysia ke arah ekonomi hijau, industri pembinaan mampan
ARTIKEL BERKAITAN: Luaskan penggunaan RCA, kontraktor sambut baik inisiatif kurangkan kebergantungan sumber binaan semula jadi
Menurut beliau, CREAM berperanan sebagai rakan penyelidikan utama yang memastikan kejayaan projek ini melalui pembangunan teknologi pemprosesan, pelaksanaan ujian kualiti, penyelidikan potensi aplikasi, selain turut giat mempromosikan penggunaan RCA dalam kalangan pemain industri pembinaan.
Menyentuh perancangan masa depan, Ramuseren berkata CIDB, CREAM dan YTL Cement komited memperluaskan penggunaan RCA melalui pembangunan fasiliti tambahan, penyelidikan lanjutan, program latihan untuk industri serta promosi penggunaannya dalam projek berskala besar.
"CIDB, CREAM, dan YTL Cement merancang untuk memperluaskan penggunaan RCA melalui pembangunan fasiliti tambahan, penyelidikan lanjutan, latihan kepada industri, serta promosi penggunaannya dalam projek berskala besar.
"CREAM khususnya, akan memanfaatkan RCA dalam aktiviti R&D, termasuk menguji campuran bersama bahan lain bagi menghasilkan simen dan produk binaan baharu yang lebih mampan," katanya lagi.
RCA adalah inisiatif selari dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 yang menekankan amalan hijau.
5 FAKTA RINGKAS RCA
1. Pusat pertama di Malaysia
- Fasiliti RCA pertama negara dibuka pada Jun 2025 di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur hasil kerjasama CIDB, YTL Cement dan CREAM.
2. Kurangkan sisa binaan
- Malaysia hasilkan lebih 30 juta meter padu konkrit setahun, dan sekitar lima peratus daripadanya dipulangkan semula.
- RCA memproses sisa ini supaya tidak dibuang ke tapak pelupusan.
3. Gantikan agregat semula jadi
- RCA boleh menggantikan sehingga 30 peratus agregat semula jadi dalam campuran konkrit baharu, selain digunakan untuk asas jalan, bata, dan penstabilan tanah.
4. Selari Dasar Pembinaan Negara 2030
- Inisiatif ini menyokong amalan ekonomi kitaran, hijau, dan lestari dalam industri pembinaan Malaysia.
5. Kurangkan jejak karbon
- RCA membantu mengurangkan pergantungan pada sumber kuari, sekali gus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan masa depan pembinaan lebih hijau.
5 KELEBIHAN RCA
1. Mengurangkan sisa pembinaan
- Konkrit segar yang tidak digunakan dan biasanya dibuang kini boleh diproses semula menjadi bahan berguna, mengurangkan pencemaran tanah dan air.
2. Menjimatkan sumber asli
- RCA boleh menggantikan sehingga 30 peratus agregat semula jadi dalam konkrit baharu, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada kuari batu dan pasir.
3. Menyokong kelestarian dan ekonomi kitaran
- Mengubah konsep ambil, bina, lupus kepada kitar semula, selari dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 yang menekankan amalan hijau.
4. Alternatif kepada sumber semula jadi yang semakin berkurangan
- RCA dilihat sebagai pilihan bahan binaan baharu yang dapat mengurangkan pergantungan kepada pasir dan agregat kuari.
5. Membuka peluang inovasi dan R&D
- Selain digunakan dalam konkrit, RCA juga boleh dijadikan bahan asas jalan, bata, penstabil tanah, malah berpotensi digunakan dalam teknologi tar jalan.