LANDSKAP industri pembinaan negara kini selangkah ke hadapan apabila pusat pemprosesan Agregat Konkrit Guna Semula atau Repurposed Concrete Aggregate (RCA) yang pertama di Malaysia dilancarkan.
Di pusat RCA, bahan buangan atau sisa binaan yang dianggap sampah dan tidak bernilai diproses dan dikitar semula, terima kasih kepada teknologi serta inovasi yang membantu mempercepatkan transformasi industri pembinaan ke arah ekonomi kitaran.
Zainora melihat RCA sebagai titik permulaan pembentukan budaya baharu dalam kalangan kontraktor dan pemaju.
Mula beroperasi pada Jun 2025, fasiliti ini diselia oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), hasil kerjasama strategik antara YTL Cement dan Construction Research Institute of Malaysia (CREAM) yang terletak di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Fasiliti ini wujud susulan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) di antara YTL Cement dan Cream pada 2023 yang memberi tumpuan kepada penyelidikan, pembangunan serta amalan pembinaan hijau.
ARTIKEL BERKAITAN: CREAM giat lakukan penyelidikan, bersedia untuk projek RCA skala besar ikut jejak negara maju
ARTIKEL BERKAITAN: Luaskan penggunaan RCA, kontraktor sambut baik inisiatif kurangkan kebergantungan sumber binaan semula jadi
Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Zainora Zainal berkata, pusat RCA ini menjadi bukti bahawa sisa konkrit mempunyai nilai untuk dimanfaatkan semula.
"Fasiliti ini adalah satu langkah inovatif dan mampan untuk memproses konkrit segar yang dipulangkan semula. Dari sisa yang dianggap 'beban', kini lahir agregat baharu dan bahan lain yang berguna.
Lawatan ke Pusat RCA turut dihadiri wakil YTL Cement dan Cream.
"Walaupun langkah ini kelihatan kecil, saya percaya ia bakal memberi inspirasi besar kepada seluruh industri pembinaan untuk mengamalkan pendekatan lebih lestari.
"Inisiatif ini juga selari dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 yang menekankan amalan hijau, produktiviti dan daya tahan industri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Pusat RCA di Makmal Kerja Raya Malaysia pada 29 Julai lalu.
Kontraktor, pemaju lebih serius urus sisa binaan
Zainora menegaskan, CIDB juga melihat pusat RCA ini sebagai satu titik permulaan kepada pembentukan budaya baharu dalam kalangan kontraktor dan pemaju yang mana mereka beralih dari konsep take, make, dispose (ambil, bina, lupus) kepada amalan ekonomi kitaran.
"Kita mahu supaya industri lebih serius menangani isu sisa binaan. Malaysia menghasilkan ratusan ribu tan sisa pembinaan setiap tahun. Ia memberi kesan besar kepada alam sekitar serta komuniti setempat jika tidak diuruskan dengan baik.
"Dengan adanya RCA, kita bukan sahaja mengurangkan jumlah sisa yang dibuang, tetapi pada masa sama menjimatkan sumber asli negara yang semakin berkurangan," jelasnya.
Sebahagian proses di pusat RCA bagi menjadikan sisa konkrit bernilai untuk dimanfaatkan semula.
Dalam pada itu, Zainora turut menyeru supaya semua pihak bermula daripada kontraktor utama, subkontraktor hingga pemilik projek mengiktiraf RCA sebagai alternatif sah dalam spesifikasi projek.
Zainora juga menyatakan kesediaan CIDB untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, serta sektor swasta bagi memperkukuh rangka kerja piawaian dan pensijilan berkaitan RCA.