ANAK seorang pesara tentera yang berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan merogol rakan perempuan di dalam kelas sebuah sekolah menengah di Ampangan, Negeri Sembilan pada Mei lalu.
Tertuduh yang merupakan pelajar Tingkatan Empat membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Saiful Sayoti selepas pertuduhan dibacakan, pada Jumaat.
Bagaimanapun prosiding terbabit dijalankan secara tertutup memandangkan tertuduh adalah pesalah bawah umur.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan rogol ke atas seorang mangsa perempuan berusia 14 tahun kira-kira pukul 7.20 pagi di dalam kelas sebuah sekolah menengah di Ampangan, Seremban, pada 2 Mei lalu.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun, dan boleh juga dihukum sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam akan dijamin bapanya yang turut memohon wang jaminan lebih rendah.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes pada 5 November depan.