suria

Anggota TUDM ‘hilang’ rupanya bersembunyi di rumah teman wanita… Takut lepas langgar kenderaan pegawai

Muhammad Ammar ditemui di kediaman teman wanitanya di Ampang Jaya pada petang Rabu.

ANGGOTA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang sejak 24 Ogos lalu rupanya bersembunyi di unit kondominium milik teman wanitanya di Ampang Jaya pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, Laskar Udara Kanan, Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, ditemui pada pukul 1.30 tengah hari.

"Anggota terbabit yang juga individu yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui bersama teman wanitanya di unit kediaman milik wanita terbabit.

"Dia ditemui oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, yang menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota TUDM hilang di Batang Kali ditemui selamat di Ampang

Muhamad Farid berkata, Muhammad Amar berada di kondominium berkenaan sejak 23 Ogos.

"Dia memberi alasan takut kerana melanggar kenderaan seorang pegawai tentera sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan maklumat yang membantu dalam mengesannya," katanya lagi.

Media pada Isnin melaporkan, Muhammad Ammar kali terakhir dilihat berada di Sungai Kedondong, Batang Kali pada 23 Ogos kira-kira pukul 4.30 petang.

Rakan sebilik Muhammad Ammar cuba menghubunginya kira-kira pukul 6 petang pada 24 Ogos, tetapi telefon bimbitnya dimatikan.

Satu laporan polis dibuat oleh seorang anggota TUDM pada 25 Ogos, selepas Muhammad Ammar tidak melaporkan diri semula untuk Kursus Penyelia Pengangkutan Kenderaan di Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT). -The Star

Artikel Lain

A. Aida masuk ICU