ALLAHYARHAM Zara Qairina Mahathir tidak jatuh secara tak sengaja mahupun ditolak dari koridor tingkat tiga asramanya, kata pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu.
Dr Hiu, Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) yang merupakan saksi pertama pada prosiding inkues kematian Zara Qairina, membacakan keterangannya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, petang Rabu.
Dr Hiu menyatakan bahawa pagar koridor asrama adalah 118 sentimeter (cm) tinggi, manakala ketinggian arwah adalah 154cm, yang mana ketinggian palang melebihi tiga perempat daripada tinggi si mati dan berada di atas pusat graviti badannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Beberapa suspek kes buli Zara Qairina akan dituduh di mahkamah
"Berdasarkan ukuran ini, saya berpendapat tidak mungkin si mati secara tidak sengaja terjatuh atau ditolak dari kedudukan berdiri di sebelah pagar konkrit di sepanjang koridor," katanya ketika membaca keterangan saksinya.
Dr Hiu berkata, pemeriksaan lokasi dijalankan di Blok Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratu A'yun SMKA Tun Datu Mustapha Limauan (TDML), Kinarut pada 2 Ogos lalu.
Allahyarham Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas dia ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama asramanya pada 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis. -The Star