SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Rabu, atas dakwaan mengintai seorang usahawan wanita sedang mandi dan menceroboh sebuah rumah inap di Kampung Jeram, Manir, minggu lalu.
Tertuduh Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29, yang merupakan seorang buruh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan maksud mengaibkan kehormatan wanita berusia 36 tahun itu kira-kira pukul 12.30 tengah malam di sebuah rumah inap di Kampung Jeram Manir, 26 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh! Usahawan produk kecantikan mengamuk diintip ketika mandi - “Kurang ajar sampah masyarakat”
ARTIKEL BERKAITAN: Datin Lyanaz nekad heret pekerja homestay ke balai polis - “Trauma, nak ke tandas pun berteman!”
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan rumah inap berkenaan pada tarikh, masa dan lokasi sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan untuk sebutan semula kes termasuk lantikan peguam.
Dalam pada itu di kamar mahkamah berasingan, buruh tersebut mengaku bersalah di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak atas satu pertuduhan berasingan iaitu memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya.
Bagi kesalahan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh tangkap (27 Ogos 2025) serta pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
Terdahulu, mStar minggu lalu melaporkan seorang usahawan produk kecantikan dikenali sebagai Datin Lyanaz Hassan, mendakwa dirinya diintip seorang pekerja homestay ketika sedang mandi di rumah inap di Kuala Terengganu.
Sehubungan itu, wanita berkenaan membuat laporan polis dan bertekad mahu mengheret pelaku ke muka pengadilan.
Video memaparkan kekecohan ketika usahawan berkenaan sedang bersemuka dengan pelaku dan ibu bapanya, turut tular di media sosial.