suria

Tiada bahan terlarang, hanya ubat antisawan dalam tisu buah pinggang Zara Qairina

Allahyarham Zara Qairina meninggal dunia sehari selepas dia ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya pada 16 Julai.

HASIL bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah Zara Qairina Mahathir, 13, mendapati tiada sebarang dadah terlarang dikesan dalam tubuh Allahyarham.

Bagaimanapun Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, ujian makmal mengesan sejenis ubat antisawan dikenali sebagai Phenytoin dalam tisu buah pinggang arwah.

Dr Hiu berkata, ubat itu lazim digunakan untuk merawat epilepsi, selain diberikan sebagai langkah pencegahan sawan terhadap pesakit mengalami kecederaan otak traumatik teruk.

"Analisis toksikologi di Jabatan Kimia tidak mengesan sebarang dadah biasa dalam sampel hati si mati. Namun, Phenytoin dikesan dalam tisu buah pinggang.

"Ubat itu digunakan untuk merawat epilepsi, juga biasa diberikan sebagai rawatan pencegahan dalam kes kecederaan otak traumatik teruk bagi mengurangkan risiko sawan awal selepas trauma," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama inkues kematian Zara Qairina pada petang Rabu, lapor Sinar Harian.

Dalam pada itu, Dr Hiu turut memaklumkan beberapa sampel antaranya tulang sternum, tulang rusuk, kuku jari tangan, calitan faraj, dubur dan perineum diambil untuk tujuan profil DNA, ketika proses bedah siasat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mungkin Zara Qairina jatuh secara tidak sengaja - Pakar patologi

Ujanya, sampel hati dan buah pinggang turut diambil sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis dadah serta toksikologi.

Jelasnya, semua spesimen tersebut diserahkan kepada pegawai penyiasat bersama borang pengendalian spesimen dan barang kes, serta borang rasmi berkaitan bagi pemeriksaan lanjut.

Pemeriksaan turut dilakukan pada bahagian alat kelamin luaran, selaput dara, saluran faraj, perineum dan dubur arwah.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan tidak menunjukkan sebarang kesan pembengkakan, lebam, koyakan atau kecederaan, malah keadaan selaput dara didapati masih utuh," menurutnya.

Dr Hiu terdahulu memaklumkan, remaja tersebut tidak jatuh secara tak sengaja mahupun ditolak dari koridor tingkat tiga asramanya.

Allahyarham Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas dia ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya pada 16 Julai.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.

Artikel Lain

A. Aida masuk ICU