SEBUAH patung dibawa masuk ke Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir pada Khamis.
Patung bersaiz sebenar itu dibawa masuk oleh pasukan peguam yang mewakili salah seorang remaja yang dituduh membuli Allahyarham Zara Qairina.
Peguam Datuk Ram Singh mendapat kebenaran daripada koroner Amir Shah Amir Hassan untuk membawa masuk patung itu sebagai bahan bantuan bagi menerangkan kecederaan yang dialami Zara Qairina.
Memasuki hari kedua inkues, pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, yang menjalankan bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham meneruskan keterangannya.
Untuk rekod, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang di asramanya, 16 Julai lalu di Papar, Sabah.
Dia meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.
Pada 20 Ogos, lima rakan sebilik asrama dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak atas kesalahan membuli Zara. -The Star