SEORANG pakar patologi forensik yang menjalankan bedah siasat ke atas Zara Qairina Mahathir berkata adalah mustahil untuk meletakkan remaja berusia 13 tahun itu ke dalam mesin basuh.
Dr Jessie Hiu, 58, yang berkhidmat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth sejak 1998, berkata perkara itu tidak mungkin berlaku berdasarkan berat badan mangsa.
Dia berkata demikian ketika disoal oleh pegawai pengendali prosiding, Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad, pada hari kedua inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Badius Zaman: Doktor, adakah anda menemui sebarang mesin basuh semasa lawatan ke lokasi kejadian?
Dr Hiu: Ya, ada satu, di tingkat bawah, bertentangan dengan tangga.
ARTIKEL BERKAITAN: Peguam bela inkues Zara Qairina bawa patung ke mahkamah
Badius Zaman: Doktor tahu saiz mesin basuh itu?
Dr Hiu: Ia mesin basuh domestik, bukan industri.
Badius Zaman: Ada kemungkinan si mati dimasukkan ke dalam mesin basuh?
Dr Hiu: Saya tidak periksa saiz tong mesin tersebut. Saya dimaklumkan mangsa mempunyai berat 53 kilogram, dan saya tidak fikir mesin itu mampu dihidupkan dengan muatan seberat 53 kg.
Perbicaraan di hadapan Koroner, Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, akan bersambung.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu.
Allahyarham dimasukkan sehari sebelumnya selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi.