PAKAR patologi menolak kemungkinan Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditolak atau diserang sehingga jatuh dari tingkat tiga bangunan asramanya.
Menurut Dr Jessie Hiu, dua andaian itu ditolak selepas meneliti hasil pemeriksaan di lokasi Allahyarham ditemukan tidak sedarkan diri pada waktu itu.
Jelas Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) berkenaan, besar kemungkinan remaja itu melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut pada jeriji besi tergantung dari atas tembok koridor asrama.
Berikut transkrip soal jawab antara Dr Jessie dan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad yang juga Pegawai Pengendali inkues di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Khamis seperti dipetik Berita Harian.
Pegawai Pengendali: Berdasarkan keterangan bertulis di perenggan 32, boleh Dr terangkan mengenai tidak mungkin jatuh secara tidak sengaja atau ditolak?
Dr Jessie: Berdasarkan pengukuran yang dijalankan di lokasi, tidak mungkin sebab palang besi di tembok koridor asrama begitu tinggi, dia tidak mungkin jatuh sebab palang itu tinggi. Jika ditolak, palang besi akan menghalang daripada jatuh.
Pegawai Pengendali: Apa kemungkinan terbaik?
Dr Jessie: Seperti yang saya terangkan dan demonstrasi dibuat di lokasi, dia (Zara Qairina) mungkin berdiri di atas tembok konkrit dan sama ada melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut dari jeriji tergantung.
Pegawai Pengendali: Boleh saya katakan tiada serangan dan punca kematian adalah jatuh dari tempat tinggi?
Dr Jessie: Berdasarkan pemeriksaan lokasi, ya.
Pegawai Pengendali: Boleh sahkan si mati melompat atau menghayunkan diri?
Dr Jessie: Berdasarkan maklumat mengenai posisi dan lokasi si mati pada 16 Julai lalu, dia sama ada melompat atau menghayunkan diri.
Dalam prosiding sama, Dr Jessie juga menunjukkan bagaimana pelajar itu mungkin jatuh dengan kaki terlebih dahulu mencecah tanah sebelum badannya rebah terbaring dan wajah menghadap ke atas.
ARTIKEL BERKAITAN: Berat Zara Qairina 53 kg, mustahil boleh masukkan dalam mesin basuh - Pakar patologi
Dr Jessie turut menjelaskan beberapa foto yang diambil ketika pemeriksaan lokasi dan demonstrasi dibuat bersama pegawai perubatan HQE bagi mendapatkan gambaran bagaimana Allahyarham jatuh.
Pemeriksaan juga bertujan mengenal pasti bagaimana dia jatuh berdasarkan kecederaan dan keadaan tubuh ketika ditemukan pada 16 Julai.
Antara lain, demonstrasi itu turut dibuat bagi mendapatkan gambaran sekiranya Allahyarham boleh jatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari belakang.
Untuk rekod, Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu dan inkues kematiannya bermula pada 3 September.