suria

Suria KLCC pertahan tindakan anggota keselamatan... Arah Tian Chua keluar sebab bawa kayu panjang, tiada motif politik

Tangkap layar (screenshot) video tular memaparkan insiden Tian Chua diarah keluar oleh anggota keselamatan Suria KLCC.

PIHAK pengurusan Suria KLCC mempertahankan tindakan anggota keselamatannya menghalang seorang aktivis kemanusiaan daripada memasuki pusat beli-belah berkenaan dengan menyatakan ia adalah prosedur keselamatan yang perlu dipatuhi semua pengunjung tanpa pengecualian.

Dalam satu kenyataan rasmi pada Ahad, pihak pengurusan tersebut menjelaskan bahawa individu terbabit didapati melanggar garis panduan tertentu yang ditetapkan bagi memastikan suasana pusat beli-belah kekal aman dan teratur.

"Insiden tersebut berlaku apabila seorang pengunjung diminta untuk tidak membawa masuk sebatang kayu panjang ke dalam pusat beli-belah.

"Tindakan ini adalah selaras dengan prosedur keselamatan kami yang melarang barangan yang berpotensi mendatangkan risiko keselamatan atau mengganggu keselesaan para pengunjung.

"Kami ingin menegaskan bahawa ini adalah langkah keselamatan piawai yang dikenakan kepada semua pengunjung, dan kami ingin meyakinkan orang ramai bahawa tindakan kami tidak didasari oleh sebarang pendirian politik," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengunjung gempar lelaki cuba terjun dari tingkat 6 Suria KLCC

Tambahnya lagi, keselamatan dan kesejahteraan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.

"Justeru, kami amat menghargai kerjasama serta pemahaman orang ramai dalam usaha kami untuk mengekalkan persekitaran yang selamat dan teratur untuk semua," menurutnya lagi.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan aktivis kemanusiaan yang juga bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua diarahkan keluar oleh anggota keselamatan pusat beli-belah berkenaan.

Aktivis tersebut bersama beberapa individu lain dipercayai masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan selepas selesai menyertai perhimpunan aman solidariti Palestin di sekitar ibu kota pada Sabtu.

Menerusi keterangan video tersebut, Tian Chua didakwa dikasari hanya kerana membawa masuk bendera Palestin.

Artikel Lain