HARI bahagia bertukar hiba!
Begitulah ujian berat pengantin lelaki apabila menerima perkhabaran duka kematian bapa ketika majlis perkahwinannya sedang berlangsung pada Ahad.
Menerusi perkongsian seorang jurugambar, dapat dilihat pasangan pengantin menangis sambil memeluk ahli keluarga di sebuah dewan serbaguna di Seri Iskandar, Perak.
Sebagaimana dijelaskan pada video yang dikongsi di TikTok Fotorasi, bapa pengantin lelaki, Md Farred Omar menghembuskan nafas terakhir pada hari sama majlis diadakan akibat serangan jantung.
"Majlis bahagia bertukar duka bila dapat tahu ayah kandung meninggal dunia ketika majlis sanding berlangsung.
Pasangan pengantin tinggalkan majlis dan tetamu yang hadir.
"Perginya ayah pengantin lelaki pada hari sanding mereka," tulisnya pada video itu.
Hantaran [tonton sini] berdurasi 21 saat itu, meraih lebih 2.4 juta jumlah tontonan dalam masa kurang 24 jam.
Pengantin perempuan yang juga menantu arwah tampil menjelaskan situasi sebenar di ruangan komen.
"Saya mohon doakan arwah bapa mentua saya yang baru menghembuskan nafasnya tadi (Ahad). Terima kasih juga buat tetamu yang hadir kenduri kami," tulisnya.
Menjawab komen netizen, katanya, arwah sepatutnya ditahan di hospital kerana terdapat jangkitan pada paru-paru, dua hari sebelum majlis.
Namun demi hari bahagia anaknya, arwah nekad pulang ke rumah dan tidak terus menerima rawatan di hospital yang tidak dinyatakan lokasi.
Bapa pengantin lelaki, Fareed meninggal dunia pada Ahad.
Bagaimanapun sejurus pasangan pengantin selesai disiapkan oleh jurumekap, mereka menerima panggilan daripada adik ipar yang memaklumkan 'abah sudah tiada’.
"Masa MUA (mekap artis) nak ambil gambar lepas siap mekap, tiba-tiba saya dapat panggilan cakap abah dah tak ada. Macam tak sangka.
"Sebab semalam (Sabtu) abah ada masa kami nikah. Cuma kami tak tak tahu abah tengah lawan sakit dia masa tu semata-mata untuk tengok kami nikah," jelasnya.
Akibat kejadian luar jangkaan itu, pasangan pengantin mengambil keputusan untuk majlis diteruskan juga tanpa kehadiran mereka dan hanya singgah pada penghujung acara.