SEORANG wanita berusia 41 tahun yang cuba mengganggu Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah.
Tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki dari Kampung Manjoi, Perak didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan pada Isnin.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Nurhaswani Afni didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada pukul 8.20 pagi, 31 Ogos lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Ceroboh pentas Hari Kebangsaan, cuba dekati Sultan Perak... Wanita direman 3 hari
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani memaklumkan hasil siasatan mendapati tertuduh dipercayai menghidap skizofrenia.
"Kami mohon supaya tertuduh dihantar untuk pemerhatian selama sebulan bagi menentukan sama ada dia layak dibicarakan atau sebaliknya," katanya.
Susulan itu, Majistret Harith memerintahkan wanita berkenaan dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta selama sebulan untuk pemerhatian.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Oktober depan.
Dalam kejadian pada 31 Ogos lalu itu, tertuduh didakwa berlari ke arah Sultan Nazrin di atas pentas ketika lagu negeri Perak dimainkan dan cuba membuat gangguan terhadap baginda.
Bagaimanapun, tindakan itu sempat dihalang anggota keselamatan sebelum wanita berkenaan dibawa keluar.
Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Noor Hisam Nordin sebelum ini memaklumkan, wanita terbabit mempunyai rekod kes lampau berkaitan dadah dan berada di bawah pengawasan psikiatri.
Siasatan lanjut mendapati ujian air kencing terhadap suspek adalah negatif dadah.
Video insiden berkenaan turut tular di media sosial. -The Star