ISTANA Pahang menafikan dakwaan bahawa Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pernah menawarkan sebarang bentuk bantuan kepada orang ramai menerusi aplikasi TikTok.
Perkara itu dimaklumkan menerusi akaun Facebook rasmi Kesultanan Pahang pada Isnin.
Jelas Istana Pahang, penafian itu dibuat susulan kemunculan sebuah akaun TikTok menggunakan nama 'Datuk Muhammad Yusuf' yang didapati giat memperdaya masyarakat dengan memanipulasi wajah Baginda menerusi teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Azizah umum ‘back to school’, netizen sempat bergurau jangan hantar ‘assignment’ saat akhir
"Istana Pahang menegaskan perbuatan tersebut adalah cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej institusi diraja.
"Orang ramai diminta agar lebih berhati-hati, bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu yang disebarkan di media sosial," menurut kenyataan itu.
Istana Pahang turut menggesa orang ramai membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau menerima sebarang mesej yang mencurigakan atas nama Tengku Ampuan Pahang.