SEBUAH video tular di TikTok memaparkan seorang pengantin lelaki keluar dari pejabat agama bersama beberapa individu dipercayai ahli keluarga, sebelum meninggalkan bakal isterinya.
Menerusi rakaman sama, kelihatan wanita itu cuba merayu sambil mengejar lelaki berkenaan namun terjatuh di atas jalan tar.
Bagaimanapun, tindakannya tidak dihiraukan dan pengantin lelaki terus meninggalkan bangunan pejabat agama sebagaimana ditunjukkan dalam satu rakaman video papan pemuka [tonton sini].
Wanita itu kemudian meluahkan perasaan kecewa melalui satu hantaran pada Ahad, disertakan video kenangan mesra mereka di dalam kereta dengan pakaian serba putih sebelum upacara akad nikah pada 3 September lalu.
"3 September (Rabu) hari yang aku sangka menjadi hari bahagia bertukar jadi hari paling menyakitkan. Bila masa akad nikah kau boleh bagi jawapan yang kau tak setuju untuk menikah.
Tangkap layar video menunjukkan momen bahagia pasangan ini sebelum kejadian tersebut.
"Kau terus tinggalkan aku sampai aku pengsan depan kau pun sikit pun kau tak peduli kata famili aku. Apa salah aku dekat kau? Sampai kau tergamak buat aku macam ni.
"Padahal sebelum akad nikah tu kita se'happy' ni tapi rupanya sebaliknya. Aku bersumpah aku takkan maafkan apa yang kau dah buat dekat aku," demikian tulis wanita itu.
Dia mendakwa lelaki itu telah memburukkan dirinya kepada rakan-rakan serta ahli keluarga lain semata-mata untuk menutup kesalahan sendiri.
Walaupun lelaki berkenaan tidak mempunyai pekerjaan, wanita itu berkata dia tetap menerima dan keluarganya pula sanggup menanggung segala perbelanjaan majlis perkahwinan.
Dakwanya lagi, bapanya juga sanggup berkorban dengan memberikan kereta kepada lelaki itu demi keselesaan mereka berdua, meskipun terpaksa menunggang motosikal.
"Kejam sangat apa yang kau buat dekat aku. Masa aku merayu dekat kau masa hari nikah, kau tepis aku. Keluarga kau tolak aku seolah-olah aku ni tak ada maruah dan harga diri.
Laporan polis yang dimuat naik di TikTok individu yang mendakwa sebagai keluarga pengantin lelaki.
"Kenapa (putuskan untuk tinggal) masa hari nikah kita? Kenapa bila sejauh ini kau tinggalkan aku tanpa khabar berita. Kau terus menghilangkan diri.
"Aku bersumpah kau tak akan dapat jumpa perempuan yang ikhlas sayangkan kau macam aku buat dekat kau," ujar wanita itu lagi.
Sementara itu, tular pula satu laporan polis dipercayai dibuat pihak keluarga lelaki mendakwa hal yang berlaku adalah sebaliknya.
Dalam laporan itu, seorang lelaki mengaku sebagai abang kepada pengantin lelaki mendakwa adiknya dihalang oleh keluarga pengantin perempuan daripada keluar rumah sebelum kejadian.
"Pada 27 Ogos, lebih kurang pukul 9.30 malam, saya ke rumah kawan perempuannya (adik) di sebuah alamat di Perak untuk bawa balik semula ke rumah saya di kampung di Perak kerana (adik) lama tidak pulang ke rumah.
"Sampai di hadapan rumah (kawan perempuan), saya tengah memberi salam dan mendapati tiada siapa pun yang menjawab salam. Saya telah menghantar mesej kepada adik saya.
"Adik saya beritahu yang dia tak boleh keluar dari rumah tersebut kerana dihalang oleh keluarga kawan perempuan tersebut. Tujuan saya datang ke balai polis buat laporan adalah untuk tindakan polis dan jabatan agama Islam," demikian butiran dalam laporan tersebut.