MAHKAMAH Koroner pada Isnin diberitahu bahawa pemeriksaan terhadap sebuah buku mendapati terdapat sebahagian tulisan tangan yang dikemukakan bukan ditulis oleh Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi kedua dalam prosiding tersebut, memetik laporan Sinar Harian.
"Setelah perbandingan dilakukan, saya mendapati tulisan tangan yang dipertikaikan pada helaian ‘Y1’ hingga ‘Y7’ dan ‘Y9’ hingga ‘Y15’ menunjukkan persamaan yang signifikan dengan contoh tulisan tangan ‘SA’. Oleh itu, saya berpendapat ia ditulis oleh penulis contoh," katanya.
Menurut Nurul Atiqah, pemeriksaan dibuat terhadap barang kes yang ditanda melibatkan helaian kertas serta buku tulisan tangan sebelum perbandingan dijalankan.
Saksi kedua itu turut menjelaskan, penemuan sama diperoleh pada helaian bertanda ‘Y8’, selain dua lagi helaian ‘W1’ dan ‘W2’ yang juga sepadan dengan tulisan tangan contoh.
Katanya lagi, hasil analisis pada buku tulisan tangan bertanda ‘W3’ menunjukkan ia mengandungi tulisan Zara Qairina dan juga individu lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Prosiding inkues kematian Zara Qairina dijalankan selama 19 hari
ARTIKEL BERKAITAN: Pencipta model kongsi visual 3D lokasi kematian Zara Qairina, bantu orang ramai faham penjelasan pakar
"Bagi muka surat 3 hingga 6, 15 hingga 24, 38 hingga 45, 47 hingga 57, 65 hingga 72 dan 90 hingga 103, tulisan tangan dipertikaikan itu juga menunjukkan persamaan signifikan dengan penulis contoh.
"Namun, bagi muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89, ia menunjukkan perbezaan signifikan yang mencukupi. Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan pada bahagian tersebut tidak ditulis oleh penulis contoh," jelasnya.
Tambah beliau, setelah semua analisis selesai, kesemua ekshibit dimasukkan semula ke dalam beg barang kes asal dan dimeterai dengan label keselamatan Jabatan Kimia Malaysia.
Nurul Atiqah, 44, yang kini berkhidmat di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Petaling Jaya berkata setakat ini beliau telah menganalisis kira-kira 670 kes pemeriksaan dokumen, termasuk 120 kes berkaitan tulisan tangan.
Sementara itu, prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar tingkatan satu itu ditetapkan bermula 3 September lalu dan berlangsung selama 19 hari sepanjang bulan ini.
Hakim Koroner yang juga Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz menetapkan tarikh berkenaan ketika sebutan kes di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada 18 ogos lalu.
Menurut jadual, prosiding berlangsung pada 3 hingga 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19 serta 22 hingga 30 September.