suria

Padah langgar, tunjuk samseng... Penjawat awam direman, kereta Myvi dirampas

Tangkap layar (screenshot) video memaparkan perselisihan faham antara dua pemandu yang tular baru-baru ini.

PEMANDU lelaki yang didakwa memandu dalam keadaan berbahaya dan terlibat dengan perselisihan faham bersama seorang pemandu wanita berhampiran Plaza Tol Bangi, Jumaat lalu, sudah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki warga tempatan berusia 25 tahun itu ditahan ketika hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sekitar 9.50 malam Sabtu. 

Beliau berkata, suspek yang merupakan seorang penjawat awam direman pada pagi Ahad bagi membantu siasatan.

"Rampasan ke atas kenderaan suspek, iaitu Perodua Myvi turut dilakukan di kawasan Dang Wangi selepas penahanan dibuat.

"Suspek kemudiannya direman pagi tadi dengan diwakili peguam dan Majistret membenarkan reman sehari bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.  

Terdahulu Naazron mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada pengadu wanita tempatan berusia 31 tahun, mengenai kejadian berkenaan. 

Mangsa yang juga eksekutif syarikat swasta mendakwa, ketika kejadian yang berlaku sekitar pukul 6.10 pagi (Jumaat), kenderaannya dihimpit sebuah Perodua Myvi selepas Plaza Tol Bangi sebelum bahagian kiri hadapan keretanya dilanggar oleh kereta suspek.

Kedua-dua kenderaan berhenti di bahu jalan sebelum berlaku perselisihan faham dengan suspek bertindak menengking dan melakukan perbuatan seolah-olah mahu memukul mangsa kerana mendakwanya menukar lorong tanpa memberi isyarat.

Insiden yang dirakam kamera papan pemuka turut tular di media sosial. 

 

Artikel Lain