KIRA-KIRA 400 pengunjung berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam kejadian kepala air ketika berkhemah di Pusat Rekreasi Air Panas Kerling, Kuala Kubu Baharu awal pagi Isnin.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.47 pagi.
“Air dilaporkan mula naik sekitar pukul 3 pagi, menyebabkan pengunjung yang berkhemah dan berkelah di kawasan berkenaan terperangkap.
“Semua mangsa berada dalam keadaan selamat dan dibawa ke kawasan lebih tinggi dengan seliaan anggota kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, bomba turut membuat pemantauan rapi sehingga limpahan air surut dan tiada mangsa mengalami kecederaan.
"Keadaan hujan yang semakin reda membantu menurunkan paras air dan tiada mangsa dilaporkan cedera atau hilang," ujarnya lagi.
Menurut Ahmad Mukhlis lagi, operasi itu melibatkan sebuah jentera dengan enam anggota dari Balai Bomba Kuala Kubu Baharu yang terletak kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.