suria

Lima sekeluarga maut tertimbus tanah runtuh, 2 lagi masih hilang

Insiden tanah runtuh itu meragut nyawa separuh daripada sebuah keluarga dalam kejadian Isnin.

SEKURANG-KURANGNYA lima ahli keluarga maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cendera Kasih, Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.

Kejadian malang itu melibatkan 11 mangsa secara keseluruhan termasuk tiga dewasa dan lapan kanak-kanak. 

Mereka berada di sebuah rumah kayu didirikan secara sementara ketika tanah runtuh berlaku sehingga rumah berkenaan bersama penghuninya jatuh tertimbus.

Seorang daripada mangsa yang terselamat mengalami patah kaki. 

Mayat pertama ditemukan sekitar tengah hari membabitkan seorang wanita dewasa, manakala empat lagi mangsa iaitu kanak-kanak berusia antara dua hingga sembilan tahun ditemui pada pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, empat mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat dengan bantuan penduduk kampung. 

"Tinggal dua lagi mangsa iaitu seorang kanak-kanak dan seorang wanita masih belum ditemukan.

"Seramai 76 anggota penyelamat termasuk bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam serta petugas kesihatan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat. 

"Operasi akan diteruskan sehingga mangsa terakhir ditemukan pada petang ini jika cuaca mengizinkan," katanya.

Penduduk di kawasan itu turut diarahkan mengosongkan penempatan berkenaan kerana dikhuatiri berlaku runtuhan susulan.

ACP Kasim berkata, mangsa dipercayai terdiri daripada pendatang namun identiti sebenar akan disahkan kemudian.

Dalam insiden itu, penduduk kampung bersama pasukan penyelamat menggali tanah menggunakan tangan, cangkul, penyodok dan peralatan lain bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

Sementara itu, satu lagi kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Kampung Unggun Jaya, Sepanggar di Kota Kinabalu namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. -The Star

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira