suria

[V] Buat kenduri kahwin macam karnival, pesta makanan... Tetamu pulang bawa haiwan ternakan, cabutan bertuah motosikal

Antara buah tangan dan hadiah yang diberikan kepada para tetamu.

MERIAH sampai jadi bualan orang!

Majlis perkahwinan pasangan pengantin dikenali sebagai Nikman dan Anis di Kampung Sungai Malau Luar, Selama di Perak pada Ahad menjadi perhatian ramai.

Berdasarkan perkongsian di beberapa platform media sosial, tetamu yang hadir dijamu dengan 18 jenis lauk utama, 10 hidangan sampingan serta minuman hasil gotong-royong penduduk kampung bersama vendor makanan.

Antara menu yang disajikan termasuk ketam masak lemak, siput sedut masak lemak, kambing masak kurma, kambing golek dan gulai kepala ikan.

Lebih menarik, tetamu tidak pulang dengan 'tangan kosong' apabila diberikan buah tangan luar biasa berupa anak ayam berwarna-warni, itik serta arnab.

Ada tetamu yang mendapat motosikal, kerusi urut dan hamper sebagai hadiah cabutan bertuah.

Setiap tetamu turut menerima nombor untuk cabutan bertuah dengan hadiah utama yang cukup lumayan antaranya lima ekor lembu, 10 ekor kambing, dua buah motosikal, kerusi urut dan hamper.

Perkongsian mengenai majlis ini tular di media sosial selepas salah seorang tetamu, ZaliHassanGC memuat naik video di TikTok [Tonton Video].

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen kagum dengan kelainan yang dibuat tuan rumah dalam meraikan tetamu.

Malah ada juga warga maya yang melabelkan perkahwinan pasangan ini sebagai 'perkahwinan paling luar biasa 2025'.

"Kami dapat 12 ekor ayam. Burung puyuh 12 ekor, itik seekor dan banyak lagi sebab ramai ahli keluarga yang pergi.

"Pertama kali tengok budak-budak asyik dok pegang anak ayam, itik, burung puyuh, anak ikan. Lupa semua jajan. Pertama kali juga pergi kenduri rasa tak nak balik.

"Dia punya majlis kahwin dah macam event makan-makan. Macam pasar malam pun ya. Seronok, moga murah rezeki tuan rumah. Sambil menyambut tetamu sambil bersedekah. Boleh dah ni Wedding of The Year 2025," komen beberapa netizen.

Artikel Lain