PENEMUAN kanak-kanak perempuan kira-kira pukul pukul 8.45 malam Isnin menjadikan tiga sekeluarga disahkan terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul, Papar di Sabah.
Mangsa terakhir itu, Kemiey Asphereynda Benny, 10, berjaya dikeluarkan sekitar pukul 1.48 pagi pada Selasa selepas hampir 18 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi.
Terdahulu, ibu kanak-kanak itu, Wong Moi Ling, 34, serta adiknya, Christen Kell Benny, 6, ditemukan lebih awal masing-masing pada pukul 4.20 petang dan 4.25 petang.
Kata Pisar, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 9.20 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.
"Didapati tanah runtuh menghempap sebuah rumah dengan tiga mangsa dilaporkan tertimbus sebaik pihak bomba tiba di lokasi.
“Operasi mengeluarkan mangsa dijalankan oleh pasukan bomba dengan bantuan agensi penyelamat lain.
"Antaranya termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Susulan itu, semua mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR tamat sepenuhnya pada pukul 2.05 pagi, Selasa.