suria

Ketua warden tahan sebak, nafi dakwaan cuba tutup kes kematian Zara Qairina

Ketua warden asrama turut menjadi saksi dalam inkues kematian Zara Qairina.

INKUES kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir bertukar pilu apabila ketua warden sekolahnya tidak dapat menahan sebak ketika disoal sama ada dia dan pihak sekolah cuba menutup kes berkenaan.

Azhari Abd Sagap, saksi kelapan, dilihat menahan air mata ketika mempertahankan dirinya serta rakan setugas daripada dakwaan yang dikemukakan peguam, Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Abdul Fikry merupakan peguam kepada empat pelajar yang dituduh membuli Zara Qairina.

“Kalau kami mahu lindungi pembuli atau pembunuh, saya tidak akan maklumkan kepada polis tentang apa yang berlaku pada 15 Julai. 

"Tetapi saya laporkan pada malam 16 Julai, sebelum ibu Zara Qairina buat laporan polis kedua. 

"Saya sendiri berurusan dengan polis. Apa sahaja mereka tanya, saya patuhi, termasuk serahkan audio ‘Kak M’,” katanya.

Menurutnya, selepas pihak sekolah menyiasat kesahihan audio itu, dia juga meminta polis mengesahkan identiti pelajar yang disebutkan.

“Saya ingin tegaskan Kak M bukan orang pertama yang nampak Zara Qairina terbaring di tanah. Kenapa dia dikritik? Kenapa wajahnya diviralkan? 

ARTIKEL BERKAITAN: "Aku tak mencuri!" - Zara Qairina menangis teresak-esak, bersumpah lepas dituduh curi barang ketua asrama

"Dia pelajar baik, setiap tahun cemerlang hafazan al-Quran. Kalau dia tiada di situ, mungkin Zara Qairina lebih awal kehilangan nyawa. 

"Tetapi ini balasan yang dia dapat,” katanya dengan suara bergetar.

Warden itu semakin sebak ketika mengimbas kembali usahanya sendiri menyelamatkan remaja berkenaan.

“Saya hubungi 991, saya panggil ambulans, saya tunggu di hospital. Saya bersama ibu Zara Qairina di wad kecemasan, saya lawat Zara pada 17 Julai, saya ada ketika mesin ditanggalkan.

"Saya pimpin doa dan ikut ke pengebumian. Tetapi kami dituduh menutup kes. Tiada apa yang kami sembunyikan… semuanya kami maklumkan, termasuk rakaman audio,” katanya.

Azhari turut menyebut bahawa dua minggu sebelum kejadian, isterinya akhirnya ditukarkan ke sekolah itu selepas bertahun-tahun berjauhan.

“Tetapi selepas kes ini, keluarga kami pula diserang. Saya kenal Zara Qairina, saya ajar dia. Dia dalam kelas saya. Saya malah ingatkan kelasnya supaya tutup aurat dengan betul, selepas itu saya nampak mereka pakai sarung tangan putih. 

"Sebab itu saya baca diari dia, saya tahu apa yang dia lalui. Semua audio saya serah pada polis. Kalau kami mahu sembunyi, kenapa perlu serahkan? Ibu bapa Zara Qairina tidak pernah buat aduan sebelum ini. Tiada laporan langsung. Hanya selepas kejadian,” katanya.

Siasatan masih diteruskan. - The Star.

 

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira