suria

Penghuni asrama perlu baca doa sebelum tidur selepas insiden kematian Zara Qairina

Zara Qairina meninggal dunia pada Julai.

PENGHUNI asrama SMKA Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah kini diwajibkan membaca doa sebelum waktu tidur setiap malam, satu rutin yang diperkenalkan susulan kematian Zara Qairina Mahathir, 13, pada Julai lalu.

Sebelum ini, warden hanya akan mengumumkan lampu ditutup pada jam 11 malam.

Ketua warden, Azhari Abdul Sagap, 31, berkata amalan itu digantikan dengan bacaan doa malam bagi memupuk rasa bimbingan dan renungan yang lebih mendalam dalam kalangan pelajar.

Azhari mendedahkan perkara itu ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Khamis yang mana dia turut mempertahankan cara sekolah menangani dakwaan awal bahawa Zara Qairina pernah dibuli.

Azhari sebak ketika menafikan tuduhan bahawa guru atau pentadbir sekolah cuba menutup butiran kes berkenaan.

Katanya, semua maklumat termasuk rakaman audio yang tular di media sosial telah diserahkan kepada polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua warden tahan sebak, nafi dakwaan cuba tutup kes kematian Zara Qairina

“Kalau betul kami mahu melindungi sesiapa, kenapa perlu serahkan rakaman itu?

“Saya sendiri yang hubungi ambulans, tunggu di hospital dan turut hadir ke pengebumian.

“Tiada apa yang kami sembunyikan,” katanya kepada mahkamah.

Azhari turut menjawab dakwaan yang mengaitkan dua lagi pelajar dengan kes berkenaan.

Dia berkata tuduhan kononnya “Kak M” dan seorang lagi pelajar bergelar “Tomboy” telah membuli Zara adalah tidak tepat.

Katanya, insiden pada Mei yang melibatkan “Kak M” telah disiasat pihak sekolah dan dilaporkan kepada polis.

Namun, tiada aduan rasmi dibuat oleh Zara Qairina atau ibunya.

Bagi pelajar digelar “Tomboy” pula, Azhari menjelaskan pelajar berkenaan berada di Perlis kerana menyertai program sekolah ketika kejadian Zara Qairina jatuh, meskipun namanya tersebar luas di media sosial.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asramanya pada awal pagi 16 Julai lalu dan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth akibat kecederaan.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung pada Jumaat (19 Sept), dengan peguam dijangka meneruskan soal balas terhadap Azhari serta meneliti bukti lain termasuk catatan peribadi Zara Qairina. -The Star

 

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira