suria

Maklumat saksi bocor di media sosial, inkues Zara Qairina ditangguh

Prosiding inkues kematian Zara Qairina telah memasuki hari ke-10

KORONER Amir Shah Amir Hassan meluahkan kekecewaan selepas pernyataan saksi kanak-kanak bagi inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah tersebar di media sosial pada Jumaat.

Susulan kebocoran tersebut, prosiding inkues kematian Zara Qairina yang memasuki hari ke-10 terpaksa ditangguhkan dan disambung semula pada Isnin.

"Ini juga satu peringatan yang mesti saya berikan kepada orang awam, apabila berlaku kebocoran atau gangguan, ia pasti menjejaskan perjalanan inkues.

"Inilah yang berlaku hari ini. Sekarang saksi berasa terancam akibat tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu. Saya tidak tahu siapa.

"Saya amat kecewa tetapi tiada pilihan. Jadi, kita akan sambung pada Isnin," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Amir Shah mengarahkan peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili saksi yang dirujuk sebagai Pelajar A, mengambil langkah sewajarnya untuk membuat laporan polis, supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan.

ARTIKEL BERKAITAN: "Aku tak mencuri!" - Zara Qairina menangis teresak-esak, bersumpah lepas dituduh curi barang ketua asrama

ARTIKEL BERKAITAN: Penghuni asrama perlu baca doa sebelum tidur selepas insiden kematian Zara Qairina

Sementara itu, Ram mendedahkan bahawa maklumat berkenaan sudah tular sebelum dibentangkan di Mahkamah Koroner.

Dalam sidang media, Ram berkata pihaknya kecewa kerana segala persiapan yang dilakukan akhirnya terjejas selepas kenyataan saksi bocor.

Beliau berkata hanya dua perenggan awal dan perenggan terakhir yang memerlukan tandatangan telah tersebar di media sosial.

"Kami juga menerima semua nama, lima nama (kanak-kanak yang dituduh) terutama yang menumpukan kepada anak guam saya.

"Itu tidak betul. Bagi saya, itu satu bentuk intimidasi. Pegawai pengendali juga telah menyatakan bahawa perkara ini akan diteliti.

"Saya simpati dengan ibu bapa kanak-kanak itu kerana mereka terpaksa melalui situasi ini," katanya.

Ram turut menambah bahawa kanak-kanak itu menangis apabila ditanya sama ada dia mampu memberi keterangan pada Jumaat.

Pada Isnin, prosiding akan dijalankan secara tertutup 'in camera' dengan saksi kanak-kanak berada di bilik saksi.

Bagi prosiding ini, selaras dengan Akta Saksi Kanak-Kanak, saksi akan berada di bilik saksi dengan bantuan seorang jurubahasa serta seorang pendamping pilihan mereka.

Mahkamah Koroner juga membenarkan pegawai undang-undang dari Kementerian Pendidikan (KPM) dan Persatuan Undang-Undang Sabah hadir dalam prosiding.

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira