suria

Tukar MyKad rosak elak masalah nikmati subsidi petrol bersasar, Saifuddin jamin kad diganti hari sama

Saifuddin memaklumkan rakyat Malaysia bakal menikmati RON95 dengan harga RM1.99 seliter pada hujung bulan ini.

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan rakyat bakal menikmati penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter melalui pelaksanaan subsidi bersasar hujung bulan ini.

Menurutnya, langkah itu adalah sebahagian daripada janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang komited untuk menunaikan setiap janji kepada rakyat.

“Alhamdulillah, walaupun ambil sedikit masa, Perdana Menteri tetap tunaikan janji. Beliau seorang yang berpegang pada kata-kata, a man of his words,” katanya di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Harga RON95 turun kepada RM1.99 seliter, kadar tol kekal - PM

Bagaimanapun, Saifuddin menekankan bahawa orang ramai perlu memastikan cip MyKad masing-masing berfungsi dengan baik kerana ia akan menjadi medium pengesahan identiti ketika mengisi minyak kelak.

Beliau mengingatkan, sekiranya cip rosak atau gagal dibaca, pemilik boleh terus ke mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk pembaikan atau penggantian.

"InsyaAllah, siap hari yang sama. Mudah dan cepat.

“Jangan tunggu saat akhir, buat semakan awal supaya semua dapat manfaat daripada subsidi petrol khas ini,” jelasnya.

Saifuddin memaklumkan kerajaan terus komited untuk menjaga kebajikan rakyat serta memakmurkan ekonomi negara dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira