suria

Bayi dua bulan maut tertindih badan ibu ketika tidur

Kecuaian boleh mengakibatkan kematian. -Gambar hiasan

SEORANG wanita ditahan selepas dipercayai menyebabkan kematian bayi lelakinya berusia dua bulan akibat kecuaian.

Mangsa dipercayai tertindih oleh ibunya ketika sedang tidur dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua, Kota Setia di Parit, Perak pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, maklumat kejadian melibatkan bayi warga Indonesia itu diterima pada pukul 8.45 pagi.

“Berdasarkan hasil bedah siasat, punca kematian mangsa disebabkan oleh otak membengkak dan paru-paru sembab akibat ditindih.

"Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 di mana suspek yang merupakan wanita warga Indonesia berusia 35 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada Sabtu.

Menurut Hafezul Helmi, hasil siasatan mendapati bayi tersebut lemas akibat tertindih badan ibunya ketika sedang tidur sekitar pukul 5.30 pagi hari yang sama.

“Suspek direman selama tiga hari dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Parit pada Isnin mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai,” katanya.

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira