SEBUAH video yang menunjukkan pengantin perempuan menangis ketika majlis perkahwinannya mencuri perhatian ramai selepas dimuat naik di Instagram pada Sabtu.
Menerusi rakaman itu, pengantin perempuan yang dikenali sebagai Nur Qall dan mengenakan busana merah hati dilihat menitiskan air mata di samping suami ketika sedang makan beradab.
Video [tonton sini] berkenaan turut disertakan kapsyen berbentuk doa buat pasangan tersebut yang menyifatkan pengantin perempuan sebagai seorang wanita tabah selepas melalui ujian hidup sebelum ini.
"Selamat pengantin baharu Qall. Sedih kisah awak sebelum ini tapi awak seorang wanita yang kuat. Kami saksi setianya seorang Qall. Allah uji sebab Dia tahu Qall mampu nak hadap.
"Semoga perkahwinan yang sekarang bahagia sampai syurga. Satu wanita bahagia, semua wanita turut gembira," tulis individu berkenaan.
Di ruangan komen, beberapa netizen tampil berkongsi mengenai kisah silam rumah tangganya yang terdahulu.
Difahamkan, dia pernah berdepan cabaran dalam perkahwinan pertama apabila diuji dengan keadaan suami yang terlantar akibat kemalangan.
Antara komen netizen di Instagram.
Bagaimanapun, pelbagai spekulasi timbul ketika itu sehingga hubungan tersebut berakhir sebagaimana diceritakan seorang netizen.
Netizen tersebut mendakwa Nur Qall bercerai selepas suaminya terbabit kemalangan dan terdapat campur tangan keluarga dalam urusan menjaga lelaki itu.
Kini, perkahwinan baharunya mendapat perhatian ramai netizen yang mendoakan kebahagiaannya bersama pasangan, Wan Amirul Ashraf.
Video tersebut terus meraih reaksi ramai di media sosial dengan rata-rata meninggalkan komen positif serta ucapan tahniah buat pasangan mempelai.
"Sedihnya cerita Qall ni. Semoga bahagia dengan perkahwinan kali ini.
"Alhamdulillah sudah bertemu jodoh yang baharu. Semoga berbahagia ya Qall. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Selamat pengantin baharu Qall dan suami," komen beberapa netizen.