SEORANG lelaki maut dengan keadaan tragis apabila kepalanya putus selepas kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Taman Permata Impian, Jalan Felda Taib Andak, Johor pada Sabtu malam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.36 malam sebelum lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
"Operasi diketuai oleh Mohd Firdaus Juritah. Kemalangan berkenaan membabitkan Honda City yang merempuh lori lima tan Hino yang diletakkan di tepi jalan.
"Pemandu kereta iaitu seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan, namun tidak tersepit. Orang awam mengeluarkan mangsa terbabit dari kereta sebelum anggota bomba tiba di lokasi.
"Penumpang di bahagian hadapan kenderaan sama tersepit dan maut. Mangsa terputus kepala," katanya menerusi satu kenyataan.
Jelasnya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis untuk tindakan lanjut.