SEBUAH majlis perkahwinan di Cyberjaya bertukar kecoh apabila salah satu daripada sembilan dulang hantaran yang dibawa pihak pengantin lelaki didapati hilang, dipercayai ketika majlis masih berlangsung.
Menurut salah seorang ahli keluarga yang dikenali sebagai Amirah Ferdi, kehilangan itu hanya disedari sehari kemudian selepas keluarga mendapati mereka membawa pulang lapan dulang sahaja.
“Pada mulanya kami risau yang hilang adalah duit hantaran. Sebab selalu kita dengar kes duit dicuri waktu kenduri. Tapi rupa-rupanya yang hilang hanyalah bunga telur.
"Hantaran itu dibuat sendiri oleh ibu pengantin lelaki menggunakan telur masin dan hiasan berwarna hijau,” katanya menerusi perkongsian di TikTok [Tonton Video].
Amirah menjelaskan ketika rombongan masuk ke dewan, semua hantaran disusun di sisi pelamin dan dialihkan ke bilik persiapan pengantin yang tidak mempunyai kunci selepas sesi bergambar.
“Mujur barang berharga lain termasuk wang hantaran, telefon dan hadiah tidak hilang. Hanya bunga telur sahaja yang ghaib.
"Kami syak ia tertinggal di pelamin dan mungkin ditemui pekerja dekorasi majlis seterusnya.
"Tapi malangnya, pihak dewan memaklumkan tiada sesiapa pun menyerahkan hantaran tersebut,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dekorasi untuk majlis perkahwinan seterusnya sudah mula dijalankan sebaik sahaja majlis selesai dan mereka percaya hantaran itu mungkin ditemui pihak yang masuk ke dewan selepas itu.
“Kami agak terkilan sebab jelas sekali hantaran itu bukan barang biasa. Sepatutnya kalau jumpa, serahkan pada pihak dewan atau hubungi keluarga kami.
"Semua nombor telefon ada pada pihak pengurusan. Tapi hingga sekarang tiada siapa yang tampil,” katanya.
Walaupun kehilangan tersebut tidak melibatkan barang berharga, ahli keluarga berkenaan tetap mengingatkan orang ramai supaya lebih jujur dan amanah.
“Kalau barang kita sendiri hilang, mesti kita sedih. Sama juga dengan orang lain. Bunga telur itu dibuat dengan penuh kasih sayang oleh ibu pengantin. Ia ada nilai sentimental, bukan sekadar hiasan.
“Kami nak pesan pada sesiapa yang ambil, kami tidak halalkan. Moga perkara ini jadi pengajaran untuk semua,” katanya.