INDIVIDU yang mengalami masalah cip MyKad rosak boleh menukar dokumen pengenalan diri itu secara percuma di semua kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bermula Selasa hingga 7 Oktober depan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, susulan pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar BUDI95 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
Munurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan rakyat tidak terhalang menikmati manfaat subsidi hanya kerana masalah teknikal pada MyKad.
“Kerajaan Madani prihatin dan akan menanggung sepenuhnya kos penukaran MyKad rosak dalam tempoh ini.
"Subsidi BUDI95 mesti sampai kepada semua rakyat yang layak tanpa ada yang tercicir,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, data JPN menunjukkan sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad rosak direkodkan dari Januari hingga Ogos tahun ini.
Jumlah itu meningkat ketara sejak tiga bulan kebelakangan, iaitu 32,819 permohonan pada Jun, 40,371 pada Julai dan melonjak kepada 45,411 pada Ogos.
Bagi bulan September, setakat 21 haribulan sahaja, JPN sudah menerima 22,858 permohonan. Purata dua bulan terkini menunjukkan sekitar 43,000 cip rosak ditukar setiap bulan.
Penukaran percuma selama dua minggu ini dianggarkan menelan belanja kerajaan sebanyak RM714,660 termasuk kos berkaitan.
Saifuddin menyeru orang ramai menjaga MyKad masing-masing kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, malah kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan, termasuk subsidi BUDI95.
“Kerajaan Madani sentiasa berpegang pada prinsip kepedulian dan inklusiviti, memastikan semua rakyat mendapat hak mereka,” katanya.