DUNIA perniagaan dan industri makanan halal tanah air kehilangan seorang tokoh apabila pemilik rangkaian Restoran Mohd Chan, Datuk Dr Muhammad Chan Abdullah, meninggal dunia pada pukul 7.09 malam, Rabu.
Menurut kenyataan rasmi keluarga yang dikongsikan menerusi Facebook Mohd Chan Malaysia, jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, pada pagi Khamis bagi tujuan pengurusan jenazah.
Difahamkan, jenazah dijangka tiba di masjid sekitar pukul 8 pagi sebelum dimandi dan dikafankan antara pukul 9 hingga 10 pagi.
Selepas itu, ruang akan dibuka kepada keluarga, sahabat handai dan kenalan yang ingin memberikan penghormatan terakhir dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.
Seterusnya, solat jenazah akan dilaksanakan selepas solat Zuhur di masjid berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Chan dedah rahsia tak pernah tanggal kopiah lebih 10 tahun
Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 2 sekitar pukul 1.30 tengah hari.
Pihak keluarga turut menzahirkan ucapan terima kasih atas doa serta ucapan takziah orang ramai, dan berharap roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Restoran Mohd Chan mula beroperasi lebih sedekad lalu dengan hanya sebuah kedai kecil di Bukit Beruntung, Selangor, sebelum berkembang pesat sehingga mempunyai 18 cawangan di sekitar Lembah Klang.
Kejayaan ini lahir daripada usaha gigih beliau dalam memperkenalkan masakan Cina Muslim yang halal kepada masyarakat, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pelanggan beragama Islam untuk menikmati hidangan berkonsepkan masakan kaum Cina.
Restoran tersebut bukan sahaja mendapat sambutan dalam kalangan umat Islam, malah turut menarik pelanggan bukan Muslim kerana keenakan rasa dan kualiti penyediaan makanan